Monday, January 26, 2009

INSURAN BUKAN UNTUK MENGHASILKAN KEUNTUNGAN

Ramai orang menyangka,apabila membeli insuran ini, kita hanya mendapatkan keuntungan kalau dapat pampasan insurans dan jika tidak berlaku apa-apa, kita akan mengalami kerugian pula. Faktor untung rugi ini sering mempengaruhi keputusan pembelian insurans. Apa yang perlu tahu insurans direka bukan untuk menghasilkan keuntungan sebaliknya untuk menutup kerugian dari segi kewangan akibat sesuatu perkara. Dalam erti kata lain, insurans berfungsi untuk mengembalikan keadaan kewangan anda kepada keadaan yang tidak rugi sepenuhnya (neutral).

Sebagai contoh, anda membeli insurans perubatan yang melindungi kos perubatan anak sehingga had RM50,000.00. Apabila anak di rawat di hospital dan kos perubatannya memakan belanja RM 15,000.00 anda mungkin terpaksa menebus simpanan sedia ada, atau menjual harta benda. Jika tidak berduit anda terpaksa berhutang pula. Bukankah ini merugikan kewangan anda?

Dengan adanya insurans perubatan, ia akan membiayai kos perubatan jumlah RM 15,000.00 tersebut kerana kerugian yang anda alami hanyalah setakat itu sahaja. Syarikat insurans tidak memberi anda RM 50,000.00 sekali gus, kerana ini akan memberi anda keuntungan pula.

Begitu jugalah keadaannya jika anda memiliki dua polisi insurans perubatan dari dua syarikat berlainan. Anda bukan dapat menuntut RM 15,000.00 dari setiap syarikat insurans, sebaliknya kos perubatan RM 15,000.00 tersebut akan dikongsi bersama-sama kedua-dua syarikat insurans.

Bagaimana pun bagi faedah-faedah asas seperti faedah kematian, hilang upaya kekal dan penyakit kritikal, ia akan dibayar sepenuhnya mengikut bilangan polisi insurans yang anda miliki. Ini kerana kerugian yang anda alami, diukur dari segi kehilangan sumber pendapatan yang tidak terhad sepanjang kehidupan anda.


Petikan artikel dari Ringgit & Sen(Siri Belajar Insurans)
Penulis artikel:Azha Syazri Hj Azizan

No comments:

Post a Comment